PM Umum Pertambahan Laluan ECRL Wakaf Bharu – Pengkalan Kubor

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini mengumumkan pertambahan laluan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor, Tumpat.

Sebelum ini, laluan ECRL bermula di terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak berakhir di Wakaf Bharu, dengan 23 stesen perhentian di antaranya.

Beliau berkata, dengan wujudnya ECRL itu, impak pertumbuhan ekonomi akan bertambah kepada 1.15 peratus di Pantai Timur.

“Perjalanan dari Gombak ke Wakaf Bharu juga semakin singkat iaitu hanya mengambil masa empat jam berbanding 12 jam menaiki bas.

“Ini bermakna kita boleh pulang ke kampung dengan keadaan selesa terutamanya pada musim perayaan tanpa menempuh kesesakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC), di Kota Bharu hari ini.

Jelas Perdana Menteri, projek tersebut bakal menjadi realiti seluruh rakyat di negara ini dalam tempoh 2021 atau 2022.

Pelaksanaan projek ECRL yang dianggarkan bernilai RM55 bilion itu diumumkan Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2017 dan dijangka bermula Julai depan. – 12 Mac 2017.