Raja Salman Iktiraf Kerajaan BN

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud sudi melawat Malaysia, baru-baru ini kerana baginda menyanjung dan mengiktiraf pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam pertemuan mereka, Raja Salman mengakui baginda sebenarnya sengaja memilih Malaysia sebagai negara Asia pertama yang mahu dilawatinya.

“Pengiktirafan baginda menyangkal tuduhan pembangkang bahawa Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang gagal atau bankrap.

“Kalau Malaysia negara bankrap, adakah Raja Salman mahu datang ke Malaysia? Baginda bukan sahaja sudi datang, malah sudi membawa masuk pelaburan bernilai RM31 bilion serta mahu mewujudkan King Salman Centre di negara ini.

“Baginda juga bersetuju menambah kuota haji. Hakikatnya, Raja Salman menyanjung tinggi dan mengiktiraf kepimpinan kerajaan hari ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Hospital Bachok serta Jamuan Rakyat, hari ini.

Najib turut menegaskan, kerajaan akan memastikan Malaysia sentiasa mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang.

“Meskipun kerajaan mahu menjaga hubungan baik dengan semua negara, itu tidak bermakna kerajaan akan membiarkan mana-mana pihak seperti Korea Utara memperlekeh atau menjatuhkan maruah Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, di Kota Bharu, Perdana Menteri, merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama di Kelantan.

Ketibaan Perdana Menteri diarak menaiki 10 beca dari bangunan UTC ke dewan perasmian, diiringi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

UTC berkenaan adalah yang kesembilan dirasmikan Najib selepas dua di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Melaka, Perak, Pahang, Kedah, Johor dan Sabah.

Sejak UTC Kelantan dibuka pada 4 Oktober tahun lalu, 31,895 orang mendapatkan perkhidmatan pelbagai jabatan yang ditempatkan di situ.

Dalam ucapannya, Najib berkata, konsep UTC begitu unik dan satu inovasi yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana negara sehingga mendapat pujian Bank Dunia.

Selain itu, katanya, UTC yang juga diiktiraf sebagai pemenang anugerah inovasi Perdana Menteri pada 2014.

“Sejak mula ditubuhkan pada 2012, sambutan rakyat baik kerana sehingga kini 41.7 juta pelanggan menggunakan perkhidmatan di UTC.

“Ini kejayaan kita sebagai kerajaan yang menyediakan perkhidmatan bermutu tinggi kepada rakyat, bukan hanya kita kerja lebih kuat tapi daya inovatif dan kreativiti yang melahirkan konsep UTC ini, ” katanya.

Bangunan yang diubahsuai membabitkan kos RM37.8 juta milik Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) itu menempatkan sembilan agensi kerajaan negeri; 12 agensi kerajaan Persekutuan; enam badan berkanun negeri dan Persekutuan beroperasi di situ.

UTC beroperasi tujuh hari seminggu bermula jam 8.30 pagi sehingga 10 malam. – 12 Mac 2017.