Tekad Bangunkan Kelantan, Tak Mahu Jadi Pendera

Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO bertekad tidak akan menganaktirikan Kelantan dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk dimanfaatkan seluruh rakyat negeri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek pembangunan bagi kebaikan rakyat dan membantu mengembangkan ekonomi Kelantan itu termasuk pembinaan Hospital Bachok dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Selain itu, kerajaan juga menyediakan kemudahan lain seperti hospital baharu di Kuala Krai bernilai lebih RM300 juta yang sedang dalam pembinaan.

“Kita buat hospital, universiti dan kereta api moden untuk rakyat Kelantan kerana ambo (saya) sayang rakyat Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan program Jom Bantu Rakyat dan majlis pecah tanah Hospital Bachok di Kampung Bator, Jelawat, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Ketua UMNO Bahagian Bachok Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Dalam pada itu Najib memberitahu, beliau tidak mahu bertindak seperti seorang bekas pemimpin kerajaan Persekutuan sebelum ini, yang mendera rakyat negeri itu.

Tanpa menamakan pemimpin terbabit, beliau berkata, rakyat Kelantan ketika itu didera dengan diabaikan pembangunan serta diberi peruntukan yang kecil dalam bajet.

“Ada pemimpin terdahulu kata orang Kelantan patut didera dengan memberi peruntukan yang kecil.

“Tapi ambo (saya) tambah peruntukan sebanyak RM12.11 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-11.

“Barisan Nasional (BN) membina beberapa hospital di negeri ini dengan peruntukan RM600 juta, ” katanya.

Kira-kira 15,000 penduduk Bachok hadir dalam majlis berkenaan. – 12 Mac 2017.