Tidak wajar Pertaruh Masa Depan Negara Kerana Individu

Masa depan negara tidak wajar dipertaruhkan hanya kerana simpati dengan mana-mana individu, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Penerangan UMNO itu berkata, soal individu adalah terlalu kecil berbanding nasib keseluruhan bangsa, agama dan negara.

“Masa depan negara adalah lebih penting. UMNO telah berjuang untuk rakyat dan pemimpin ini perlu sedar tidak ada gunanya bagi dia pula mempertaruhkan masa depan negara hanya untuk kepentingan diri.

“Apa yang kita buat ini adalah fardu kifayah kerana mempertahankan kerajaan yang telah mengangkat martabat bangsa, agama dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Ceramah Isu-isu Semasa di Padang Sera Kedah.

Annuar berkata, tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang cuba mengganggu gugat keharmonian negara adalah sesuatu yang sukar diterima rakyat.

“Semasa Tun Mahathir menjadi perdana menteri sokongan rakyat tidak berbelah bahagi termasuk saya tetapi cukuplah dan berilah ruang kepada pemimpin yang ada sekarang ini mentadbir negara dan meneruskan kesinambungan keharmonian melalui parti keramat UMNO ini,” katanya.

Beliau berkata, parti telah banyak menerima ujian, namun ia tetap kukuh bertahan memayungi bangsa, agama dan negara.

Sehubungan itu, beliau berharap Dr. Mahathir akan kembali sedar terhadap perjuangannya bersama pembangkang dan kembali bersama parti yang pernah didokongnya.

“Saya tahu hati kecilnya masih sayangkan UMNO dan berdoalah mereka kembali ke dalam parti keramat ini,” katanya.

Beliau juga berharap, UMNO dan PAS akan menemui titik pertemuan untuk menjalin kerjasama demi bangsa dan agama. – 12 Mac 2017.