H5N1: 2,438 Ayam, 860 Biji Telur Dimusnah

Sebanyak 2,438 ekor ayam dan 860 biji telur dimusnahkan berikutan wabak selesema burung atau virus Avian Influenza (H5N1) di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kelantan sejak dua minggu lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, operasi kawalan dan pembasmian haiwan berkenaan dilaksanakan sejak 6 Mac lalu bagi mengawal virus tersebut merebak ke luar dari Zon Pemantauan.

“Hasil tindakan pantas dan menyeluruh kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berjaya mengehadkan penularan virus H5N1 dengan mewujudkan Zon Pemantauan berlingkungan 15 kilometer (km) di kawasan berkenaan.

“Sehingga kini, penyakit selesema burung ini hanya terdedah kepada ternakan ayam kampung dan bukan ayam komersial,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 2016, di Putrajaya hari ini.

Shabery memberitahu, keadaan di kawasan terbabit masih terkawal dan JPV meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan perdagangan haiwan berkenaan tidak terjejas berikutan wabak tersebut.

Beliau berkata, JPV juga sedang berurusan dengan negara pengimport lain seperti Jepun, Brunei, Hong Kong, Indonesia dan China untuk menjelaskan mengenai wabak virus H5N1 yang menjejaskan industri ternakan di negara ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, misteri kematian 15 ayam kampung di Kampung Pulau Tebu, Tunjong terjawab apabila disahkan positif wabak H5N1.

Kerajaan negeri mengambil beberapa langkah untuk mengawal wabak itu daripada merebak termasuk menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Kawalan Penyakit Haiwan Negeri Kelantan bagi mengendalikan kes wabak H5N1. – 13 Mac 2017.