Husam Sokong, Cabar PAS Bawa Isu Bai’ah Ke Mahkamah

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, menyokong usul untuk membawa pelanggar bai’ah ke Mahkamah Syariah sekali gus mencabar parti itu segera bertindak demikian.

Beliau berkata, PAS Kelantan sepatutnya berbuat demikian lebih awal sebelum usul itu diluluskan lagi.

“Saya sendiri mencabar Pas Kelantan berbuat demikian, lebih awal dari usul itu, iaitu ketika saya berucap di Ketereh pada 11 Mac,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, beliau berkeyakinan PAS tidak berani untuk berbuat demikian berdasarkan kajiannya mahkamah tidak akan memihak kepada PAS.

Katanya, talak tidak akan jatuh seperti difahamkan segelintir pimpinan PAS yang asyik mempolitikkan isu tersebut.

“InsyaAllah ia hanya akan memalukan PAS sendiri,” katanya.

Penasihat PAN Kelantan itu berkata, empat individu termasuk beliau sendiri akan terlibat sekiranya tindakan tersebut diambil.

Tiga individu lain ialah, Datuk Kamarudin Jaafar, Dr. Hatta Ramli dan Datuk Ibrahim Ali.

“Kesemua kami melafazkan bai’ah itu. Perbezaannya, Ibrahim Ali bukan ahli PAS pada masa ia diberikan izin bertanding atas lambang PAS tetapi beliau tetap diminta untuk melafazkan bai’ah itu.

“Selepas menang, beliau bertindak menjadi Ahli Parlimen bebas. Di waktu itu, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz masih aktif tetapi langsung tidak membangkitkan apa-apa tentang ta’lik talak atau pun pendapatan dari gaji beliau.

“Pendapat saya, sejak awal lagi bai’ah oleh Ibrahim Ali tidak lekat dan boleh dikuatkuasakan kerana Ibrahim tidak pernah diminta menjadi ahli PAS. Bagaimana seseorang yang tidak ahli parti boleh dikira keluar parti pada bila-bila masa?

“Sementara Dr. Hatta pula berkahwin di luar Kelantan. Tinggal saya dan Datuk KJ (Kamarudin Jaafar).

“Saya menawarkan diri untuk menjadi kes ujian terhadap validity bai’ah PAS itu. Biar Mahkamah Syariah meneliti dan memutuskan kes ini berbanding pemimpin tanpa kelayakan untuk memfatwakannya. Sedangkan mana dulu antara ta’lik dan talak pun beliau tersilap,” jelasnya.

Tegas Husam, sekiranya PAS gagal membawa kes ini ke Mahkamah, parti itu harus meminta maaf kepadanya.

Beliau berkata, tujuannya membangkitkan isu tersebut dengan mengaitkan nama Ibrahim Ali adalah untuk membuka mata orang PAS bahawa tidak jatuh talak dengan bai’ah PAS itu.

“Jika tidak, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz tentunya telah membangkitkan isu ini secara tertutup atau terbuka.

“Ia tidak berlaku. Malang, pemimpin kecil yang datang kemudian berlagak tahu segala-galanya.

“Isu bai’ah yang dibesarkan, menunjukkan Pas tidak mempunyai idea konstruktif selain isu-isu tidak produktif seperti ini.” tegasnya.

Mesyuarat Agung PAS kawasan Tanah Merah baru-baru ini meluluskan usul bagi membawa individu yang melanggar sumpah taklik dan baiah kemuka pengadilan.

Usul berkenaan dibawa perwakilan PAS Cawangan Klewek yang mendesak PAS Pusat atau Badan Perhubungan PAS Kelantan bertindak segera.

Menurut perwakilan itu, perkara tersebut sangat memalukan PAS selain seolah-olah perkara yang berkaitan sumpah taklik serta baiah boleh dipermainkan.

“Sumpah dan baiah dibuat mantan Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat bagi mengelakkan wakil rakyat PAS lompat parti dan membawa lari kerusi PAS.

“Kami mendesak bawa mereka ini ke Mahkamah Syariah sebab Hakim Mahkamah kata ada kes tetapi kita masih berdiam diri,” kata perwakilan itu.

Mesyuarat agung kali ke-56 yang diadakan di Pejabat PAS Kawasan di Manal, Tanah Merah itu dirasmikan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

Usul berkenaan mendapat sokongan sebulat suara daripada semua perwakilan sambil mengumumkan komitmen untuk membawa sendiri sekiranya tiada perhatian.

“Kita berharap supaya Muktamar ini mendesak PAS agar bertindak, sekiranya tiada, PAS Kawasan sendiri akan bertindak membawa kes ini ke Mahkamah,” jelasnya. – 13 Mac 2017.