Malaysia Tidak Berminat RCEP Ganti TPPA

Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan Malaysia kurang berminat menggantikan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, objektif utama penyertaan Malaysia dalam RCEP dan TPPA adalah berbeza.

Semasa menjawab soalan tambahan Tan Seng Giaw (Kepong-DAP), Mustapa berkata, ada tujuh daripada 15 negara yang terbabit dalam RCEP menjadi anggota TPPA, namun liputannya juga berbeza.

“Jika dibandingkan dengan TPPA, komitmen yang dirundingkan di bawah RCEP terutama akses pasaran adalah lebih rendah.

“Selain itu, isu perolehan kerajaan, alam sekitar dan buruh yang terkandung dalam TPPA tidak dirunding dalam RCEP,” katanya.

Mustapa berkata, kedua-dua perjanjian itu saling melengkapi dasar perdagangan negara dan kerajaan mahu meneruskan perbincangan.

Menjawab soalan asal Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Setiu-BN) mengenai hala tuju perdagangan Malaysia kesan pembatalan Amerika Syarikat terhadap TPPA, beliau berkata Malaysia dan negara anggota TPPA lain sedang menimbang beberapa alternatif sebagai langkah seterusnya. – 13 Mac 2017.