Pemuda PAS Kelantan Kata MP Bukit Bendera Celupar

Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari sebagai celupar dan meneruskan tradisi pimpinan DAP selama ini yang gemar menyerang PAS.

Ketua Penerangannya, Nazman Che Ibrahim berkata, kenyataan terbaharu Zairil yang mempertikaikan kewajaran PAS untuk terus berada dalam arena politik dilihat tidak mengejutkan memandangkan pemimpin DAP itu sememangnya konsisten merendahkan hukuman serta syariat Allah.

Malah katanya, Zairil juga pernah bersikap biadab menyerang Presiden PAS sekitar tahun 2015 apabila mendakwa pakatan pembangkang pada waktu itu tiada masa depan sekiranya PAS terus diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kenyataan demi kenyataan oleh Zairil sebenarnya meneruskan lagi siri-siri keceluparan mulut pimpinan DAP sejak zaman berzaman.

“Ini semua menunjukkan bahawa dulu, kini dan selamanya, DAP terus keras dan tajam dalam urusan umat Islam,” katanya.

Zairil dalam satu kenyataan sebelum ini secara sinis mempertikaikan kewajaran PAS untuk terus berada dalam arena politik negara sekiranya parti itu lebih berminat bercakap mengenai keredaan Allah berbanding kemenangan pilihan raya sebagai pertimbangan strategi.

Sementara itu, Nazman turut mengingatkan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang itu supaya tidak mempersoalkan perjuangan PAS sebaliknya fokus terhadap parti sendiri yang dilihat terus ditolak oleh masyarakat Melayu khususnya.

“Tidak perlulah Zairil mempersoal rasional kewujudan PAS yang semakin mengutamakan keredaan Allah dalam setiap tindakan politiknya.
Kerana dengan dasar ini lah, PAS terus segar dan mekar dalam arus politik negara sejak sekian lama,” katanya. – 13 Mac 2017.