Rundingan Kuala Lumpur – Pyongyang Diteruskan

Rundingan bagi membebaskan sembilan rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Utara diteruskan, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Beliau berkata, isu antara kedua-dua negara amat sensitif dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh mengulas perkara itu kepada media.

“Kita tidak mahu rundingan yang masih berlangsung ini terjejas,” katanya pada majlis Kolokium Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Berhubung Kehakiman Hak Asasi Manusia yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang hak asasi di peringkat antarabangsa.

Hubungan antara Kuala Lumpur dan Pyongyang tegang susulan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) 13 Februari lalu.

Korea Utara mengkritik cara Malaysia mengendalikan kes itu dan menuduh Kuala Lumpur terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Pyongyang.

Malah ketegangan semakin memuncak pada 7 Mac lalu apabila Korea Utara melarang 11 rakyat Malaysia meninggalkan negara tersebut.

Malaysia turut mengeluarkan larangan yang sama ke atas 315 rakyat Korea Utara yang berada di negara ini.

Sementara itu, Mohamed Apandi berkata, rundingan berhubung isu berkaitan antara kedua-dua negara menunjukkan situasi positif. – 13 Mac 2017.