Siasatan ke Atas Annuar Selesai

Siasatan terhadap kes melibatkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa telah pun selesai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk penelitian dan tindakan selanjutnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohamed Hanipa Maidin (PAN-Sepang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status penyiasatan kes SPRM melibatkan pengerusi MARA itu di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi soalan sama ada saksi utama kes berkenaan iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipanggil memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Low berkata, siasatan SPRM mendapati tiada keperluan untuk memanggil Tengku Mahkota Johor itu.

Media sebelum ini melaporkan, Annuar digantung tugas sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi Pelaburan MARA Berhad (PMB) berkuat kuasa serta merta pada 31 Januari lepas berikutan dakwaan berhubung penajaan pasukan bola sepak Kelantan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi berkenaan. – 13 Mac 2017.