50 Rakyat Korea Utara Di Hantar Pulang, Mayat Kim Jong-nam Diawet

Kira-kira 50 rakyat Korea Utara di Sarawak yang telah tamat tempoh visa akan dihantar pulang dalam waktu terdekat

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi visa yang masih sah mereka boleh berada di negara ini.

Menurutnya seramai 315 rakyat Korea Utara berada di Malaysia.

Mengenai rundingan berikutan konflik antara kedua-dua negara beliau berkata, rundingan sedang dijalankan bagi membenarkan baki sembilan rakyat Malaysia pulang ke tanah air.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tegang susulan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Korea Utara mengkritik siasatan yang dijalankan Malaysia dan mendakwa ia merupakan sebahagian daripada konspirasi terhadap negara itu.

Ketegangan semakin memuncak apabila pada 7 Mac lalu, Korea Utara tidak membenarkan semua 11 rakyat Malaysia keluar daripada negara itu sekali gus mereka dijadikan sebagai ‘tahanan’.

Malaysia kemudiannya mengeluarkan arahan yang sama kepada 315 warga Korea Utara yang masih berada di negara ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan, Kim Jong-nam diawet untuk pemeliharaan lebih baik.

Katanya, mayat itu dibawa keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai prosedur.

“Ya, benar. Ia merupakan usaha untuk memelihara mayat.

“Sebab kalau disimpan di dalam bilik mayat, ia mungkin akan mereput maka kita perlu memeliharanya,” katanya. – 14 Mac 2017.