Jabatan Kastam Akan Dikorporat Tidak Lama Lagi

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan dikorporatkan tidak lama lagi dengan skim perkhidmatan yang lebih baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut telah tertangguh berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

“Memandangkan kecemerlangan anggota Jabatan Kastam menjalankan tugas dengan cemerlang maka kerajaan akan korporatkan jabatan ini dengan skim perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kastam Bersama Perdana Menteri di Putrajaya malam tadi.

Hadir sama ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong.

Najib berkata, ia merupakan hadiah terbaik kepada anggota JKDM dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad yang akan bersara. – 14 Mac 2017.