Kerajaan Agih Wang Ihsan RM668,500 Kepada Mangsa Banjir

Kerajaan Persekutuan mengagihkan bantuan wang ihsan berjumlah RM668,500 kepada mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, hari ini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz memberitahu, seramai 1,333 mangsa banjir telah menerima wang tunai berjumlah RM500.

Beliau berkata, bantuan tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan persekutuan dalam soal kebajikan rakyat.

“Bantuan ini jelas menunjukkan kerajaan persekutuan tidak pernah menganak tirikan atau mendera rakyat Kelantan seperti yang dicanang oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Ehsan Bantuan Bencana Fasal 1 Peringkat Parlimen Tumpat di Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 2 hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, seramai 3,000 mangsa banjir yang telah terlibat dengan musibah berkenaan pada Januari lalu. – 14 Mac 2017.