PAS Hilang Tarikan, Sarat Dengan Cercaan Kata Prof Agus

Penganalisis politik berkata, PAS kini seolah-olah hilang arah apabila ceramahnya semakin hilang tarikan sebaliknya sarat dengan cercaan.

Prof Datuk Mohamad Agus Yusoff berkata, pendekatan politik PAS jauh berbeza dengan gerak kerja UMNO, PAN dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang lebih lembut, memujuk, kemas dan kerap.

Menulis di laman Facebooknya Mohamad Agus berkata, PAS perlu mengubah pendekatan politiknya jika mahu terus memerintah Kelantan kerana sikap pengundi Kelantan tidak statik.

Katanya, rakyat Kelantan akan menukar kerajaan apabila kerajaan sedia ada tidak lagi dapat menunjukkan imej perpaduan yang baik.

“Perhatikan keinginan anak muda dan perantau di luar Kelantan yang akan balik mengundi nanti. Mereka antara penentu besar kerajaan yang akan memerintah selepas PRU14 nanti.

“Jika PAS tidak berubah dan masih dengan sikap politiknya sekarang, PRU14 nanti akan menyaksikan perubahan kerajaan di Kelantan,” katanya

Beliau berkata, pada tahun 1978, rakyat Kelantan menolak kerajaan PAS apabila parti itu berkonflik dan Berjasa ditubuhkan.

Manakala tambahnya, pada tahun 1990, rakyat Kelantan menolak kerajaan UMNO apabila parti itu berkonflik dan Semangat 46 ditubuhkan.

“Senario tersebut berulang lagi sekarang. Parti PAS yang memerintah Kelantan berkonflik berat sehingga tertubuhnya Amanah (PAN),” kata pensyarah kanan sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu. – 14 Mac 2017.