Aktif Edar Pil Kuda, Lima Ahli Kumpulan Jali Diberkas

Polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran pil kuda selepas menahan lima individu dalam satu serbuan di sekitar Kampung Binjai, Kota Bharu kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9.20 malam itu, polis turut merampas sebanyak 561 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM12,000.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, sindiket tersebut yang dikenali sebagai kumpulan ‘Jali” dipercayai bergerak aktif mengedar dadah di sekitar Kampung Binjai.

Beliau memberitahu, pada awalnya, polis menahan seorang lelaki berumur 30 tahun yang ketika itu berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Suspek yang melihat kelibat polis telah mencampakkan dua kotak rokok. Lelaki itu juga cuba melarikan diri namun berjaya dihalang pihak polis sebelum berlaku sedikit pergelutan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kotak rokok tersebut, kita menemukan 500 biji pil kuda yang dipercayai untuk dijual kepada penagih di kawasan tersebut,” katanya.

Tambah Baharom, penahanan tersebut berjaya membantu polis memberkas empat lagi suspek daripada kumpulan sama di sekitar Kampung Sering dan Pengkalan Datu.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihak polis menemukan 61 pil kuda daripda keempat-empat suspek yang berusia sekitar 30-an itu.

“Hasil soal siasat, kita mendapati kesemua anggota geng Jali yang terdiri daripada tujuh individu itu bergerak aktif dalam pengedaran dadah sejak dua bulan lalu.

“Polis sedang giat mengesan dua lagi individu yang merupakan saki baki ahli kumpulan berkenaan. Kesemua suspek yang ditahan itu didapati positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” ujarnya.

Katanya, kesemua suspek disiasat mengikut Sekysen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati. – 15 Mac 2017.