Dua Maut, Motosikal Bertembung Sesama Sendiri

Dua lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung sesama sendiri dalam kejadian di Kampung Pasir Tok Kambing semalam.

Dalam kejadian kira -kira pukul 10.15 malam itu, mangsa, Muhamad Yushafis Mat Yusoff, 30, dan Ekma Mat Yussin, 49, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta badan.

Ketua Polis Daerah, Asisiten Komisioner Baharom Abu berkata, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa bertembung dari arah bertentangan.

“Pada masa kejadian, Ekma dalam perjalanan dari arah Binjai ke Kedai Lalat sebelum motosikalnya bertembung dengan motosikal Muhamad Yushafis.

“Ekoran daripada pelanggaran tersebut, kedua-kedua mangsa tercampak dari motosikal dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat,” katanya ketika dihbungi.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -15 Mac 2017.