H5N1: 15,957 Unggas Dimusnah

Sebanyak 15,957 unggas termasuk ayam kampung, itik, angsa, burung ketitir dan burung puyuh dimusnahkan sejak awal bulan lalu sehingga kini dalam mengawal penyakit selesema burung (H5N1) daripada merebak di Tunjong dan Pasir Mas.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr. Kamarudin Md. Isa berkata, kakitangan JPV negeri menjalankan usaha pelupusan tersebut selain melakukan penyemburan pada waktu malam.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai menjauhi kawasan wabak tersebut sekurang-kurangnya dalam jarak 10 kilometer bagi mengelak wabak berkenaan merebak ke kawasan baharu.

“Mereka yang mahu keluar dan masuk ke kampung wabak bermula iaitu dari Kampung Pulau Tebu, Tunjong yang melibatkan enam kawasan terlibat dan tiga lagi di Pasir Mas perlu mengambil langkah waspada.

“Jika kita masuk ke kawasan tersebut, perlu memakai topeng khas N95 bagi mengelak sebarang risiko jangkitan,” katanya ditemui di pejabat JPV negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya menasihatkan supaya aktiviti berkaitan haiwan ternakan termasuk pertandingan melibatkan suara burung candik dan laga ayam dihentikan pada masa ini.

“Kita masih menyiasat punca penyakit dan aktiviti laga ayam di sempadan dikhuatiri menjadi punca jangkitan H5N1 merebak ke sini.

“Kes ini, kita lihat hampir serupa dengan kes 2004 (juga di Kelantan) dan usaha mengenal pasti punca agak sukar, namun ia sudah tentu bawaan dari luar Malaysia dan kita sedang jalankan perincian lebih lanjut mengenainya,” katanya. – 15 Mac 2017.