H5N1: Kelantan Isytihar Bencana Negeri

Kerajaan PAS Kelantan mengisytiharkan wabak selesema burung (H5N1) sebagai bencana negeri selepas ia merebak ke dua daerah lagi iaitu Bachok dan Pasir Puteh.

Sebelum ini dua daerah terkesan dengan wabak itu ialah Kota Bharu dan Pasir Mas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, keputusan itu dibuat mengikut Perintah Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN 20).

“Berikutan keputusan tersebut, semua agensi yang berkaitan akan digerakkan untuk mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi mengelakkan wabak selesema burung itu atau H5N1 itu terus merebak,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Virus H5N1, yang menyerang unggas itu, dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong pada 6 Mac lepas setelah beberapa ekor ayam kampung mati.

Che Abdullah berkata, wabak berkenaan merebak dengan cepat meskipun kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar sudah mengambil langkah awal sebaik ia disahkan positif di Kampung Pulau Tebu.

Dua kawasan terbaru yang dikesan adalah di Kampung Dusun Durian, Bachok dan Kampung Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Kota Bharu menjadi jajahan paling terjejas membabitkan 18 kampung setakat ini. – 15 Mac 2017.