Orang Asli Buat Sekatan Baharu Halang Pembalak

Penduduk Orang Asli di Hulu Kelantan merancang untuk membina sekatan baharu kawasan mereka bagi menghalang aktiviti pembalakan meskipun terus dihalang pihak berkuasa.

Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along, berkata, tindakan tersebut dipersetujui komuniti Orang Asli di peringkat akar umbi kerana Kerajaan PAS Kelantan gagal untuk mencari jalan penyelesaian.

Katanya, mereka akan menyusun strategi terbaharu dan merancang membina sekatan dalam minggu ini juga.

“Kami akan membina semula sekatan di tiga lokasi asal iaitu di Simpang Petei, Pos Tohoi; Betau Cawas, Pos Bihai dan Kelawong, Pos Pasik serta merancang untuk membina satu lagi sekatan baharu di Pos Pasik kerana mendapat tahu satu kawasan baharu akan dibuka.

“Kami bercadang akan membuat sekatan menggunakan kayu dan buluh terlebih dahulu. Sekiranya tidak memberi sebarang kesan kami akan menggunakan jalan terakhir dengan membuat sekatan rantaian manusia bagi menghalang kayu balak dibawa keluar,” katanya. – 15 Mac 2017.