Peka Terus Bantu Orang Asli Gua Musang

Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) akan terus membantu dan memperjuangkan nasib Orang Asli di kawasan Hulu Kelantan yang dikatakan tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan PAS Kelantan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pihaknya tidak akan serik dan semakin bersemangat untuk membantu masyarakat minoriti itu.

Beliau yang ditahan oleh Jabatan Perhutanan di Hutan Simpan Balah petang kelmarin berkata, sebagai aktivis alam sekitar dan nilai kemanusiaan, mereka hanya ingin memberi sokongan moral serta menyalurkan bantuan makanan kepada masyarakat Orang Asli.

“Kami dibebaskan sekitar pukul 4 pagi semalam selepas memberi keterangan kepada pihak Jabatan Perhutanan di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Gua Musang.

“Pihak jabatan memberi alasan mereka menahan kami kerana menceroboh serta tidak mempunyai permit masuk ke kawasan hutan simpan.

“Tetapi persoalannya macam mana kami nak ada permit masuk kerana mereka sudah membekukan permit bagi menghalang kami dan Peka beranggapan mereka takut kerana ingin menyorokkan kemusnahan hutan Gua Musang yang semakin hampir ke sempadan negeri Perak itu,” katanya.

Beliau dan pembantunya, Norhayati Shahrom, 51, bersama tiga individu lain ditahan Jabatan Perhutanan Kelantan kira-kira pukul 6.30 petang selepas menghantar bekalan makanan kepada penduduk di Kampung Tembaga, Pos Gob, Gua Musang.

Yang turut ditahan ialah Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along dan dua individu dikenali Korin dan pemandu, Wak.

Sejak September lalu, masyarakat Orang Asli telah membina sekatan di Hutan Simpan Balah bagi menghalang syarikat pembalakan mengeluarkan hasil hutan itu.

Mereka mendakwa hutan tersebut telah rosak disebabkan pembalakan namun tindakan tersebut mencetuskan ketegangan dengan Jabatan Perhutanan yang telah meruntuhkan sekatan itu beberapa kali tetapi dibina semula. – 15 Mac 2017.