Pemain Bunohan FC Maut Dirempuh

Seorang pemuda maut manakala dua lagi cedera selepas kereta jenis Proton Waja yang dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan dan merempuh mangsa ketika melalui jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Mohd. Sabri Awang, 19, yang merupakan pemain bola sepak pasukan Bunohan FC maut serta-merta akibat kecederaan parah.

Turut mengalami kecederaan akibat rempuhan itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Mukim Bunohan Mohd. Yusof Daud, 57, yang patah betis kanan.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa, Faisal Che Mat pemain pasukan Bunohan FC hanya mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku ketika Mohd. Yusof hendak melihat bola yang baharu sahaja selesai di beli oleh mangsa untuk aksi persahabatan melibatkan pasukan Bunohan FC.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritanden Zaharudin Rasip mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu. – 15 Mac 2017.