PRU14: Bandar, Luar Bandar UMNO Perlu Beri Tumpuan Sama

UMNO – Barisan Nasional (BN) perlu memberi tumpuan sama penting sama ada di kawasan bandar dan luar bandar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, BN menghadapi cabaran besar untuk menang di kawasan bandar kerana masih terdapat pengundi yang tinggal di bandar yang pulang pada hari pengundian.

“Pengundi yang tinggal di bandar dan mengundi di luar bandar harus diberi perhatian kerana mereka mampu menentukan kemenangan dan kejatuhan BN di kawasan luar bandar.

“Ini kerana apa-apa isu yang dibincangkan di bandar akan mencorakkan perbincangan di seluruh negara,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Puchong 2017 di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, penduduk bandar yang pulang ke luar bandar untuk mengundi biasanya akan pulang ke kampung masing-masing dengan pelbagai propaganda bandar.

Justeru katanya, UMNO harus memberi tumpuan kepada orang Melayu yang tinggal di kawasan bandar. – 15 Mac 2017.