Tuntutan Palsu Bekas Pengarah, MITI Akan Kerjasama Dengan SPRM Bantu Siasatan

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan palsu melibatkan bekas pengarah kementerian itu cawangan Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan adil.

“MITI akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam siasatan ini.

“Kami percaya ia akan dilaksanakan secara telus dan adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas bekas Pengarah berkenaan selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu sebanyak RM190,000.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Norida Mohd. Husin.

Bekas pengarah berusia 35 tahun itu bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya ditahan SPRM di pejabatnya kira-kira pukul 6 petang semalam sebelum dibawa pulang ke Kota Bharu malam tadi.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – 15 Mac 2017.