Tuntutan Palsu: Bekas Pengarah MITI Kelantan Ditahan

Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kelantan.

Tahanan selama tujuh hari itu bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu sebanyak RM190,000.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Norida Mohd. Husin.

Bekas pengarah berusia 35 tahun itu bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya kira-kira pukul 6 petang semalam.

Menurut sumber, bekas pengarah itu dibawa pulang ke Kota Bharu malam tadi.

Difahamkan, bekas pengarah yang dikatakan pernah bertugas di Pahang sebagai Penolong Pegawai Daerah di Temerloh sebelum ditukar ke JPA Putrajaya itu telah ditukarkan dari Kelantan sejak dua tahun lepas.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – 15 Mac 2017.