Elak Pembakaran Terbuka Musim Kemarau – Bomba

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim kemarau bagi mengelak mudahnya berlaku kebakaran.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, cuaca yang terlalu kering menyebabkan kebakaran cepat merebak selain menyukarkan kerja-kerja mengawal dan memadam api.

“Bukan itu sahaja ia juga boleh menyebabkan berlakunya fenomena jerebu selain dikhuatiri boleh memusnahkan kediaman jika ia berhampiran dengan kawasan pembakaran terbuka itu.

“Walaupun musim kemarau masih belum berlaku, namun peringatan ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Terpuji JBPM Kelantan hari ini.

Wan Mohd. Nor berkata, pihak JBPM sentiasa bersedia dengan segala aset dan kelengkapan yang akan digerakkan bagi menghadapi segala kemungkinan di musim kemarau nanti. – 16 Mac 2017.