Najib Lebih Baik Berbanding Dr. Mahathir – Mohd. Amar

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengakui, hubungan kerajaan PAS dengan Kerajaan Persekutuan jauh lebih baik dan harmoni ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri berbanding ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, antara perubahan ketara ialah peningkatan jumlah peruntukan pembangunan yang disalurkan Kerajaan Pusat kepada Kelantan.

“Kalau nak banding dengan dulu, memang banyak perbezaan. Malah hubungan Kelantan dengan Pusat juga jadi lebih baik berbanding semasa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri. Itu fakta yang semua orang patut tahu dan kita sendiri juga akui.

“Bagaimanapun ingin saya tegaskan, hubungan ini adalah berdasarkan ‘G to G’ (kerajaan dengan kerajaan) sebagaimana yang ada dalam Perlembagaan. Jadi diharap semua pihak menghormati hubungan ini,” katanya.

Dalam lawatan kerjanya ke Kelantan Ahad lalu, Najib berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk mengikut jejak langkah seorang bekas Perdana Menteri yang berpendapat Kelantan wajar didera kerana menyokong pembangkang.

Beliau sebaliknya menggunakan pendekatan berbeza iaitu mentadbir negara dengan seadil mungkin dengan cara meningkatkan peruntukan pembangunan kepada Kelantan supaya negeri ini dapat bersaing dengan negeri-negeri lain.

Mengenai pengumuman Najib tentang tambahan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 16 kilometer dari Wakaf Bharu sehingga ke Pengkalan Kubor, Mohd. Amar berkata, pihaknya amat mengalu-alukan perkara tersebut.

Katanya, dalam kertas kerja awal, manfaat projek ECRL tidak bersifat menyeluruh kepada semua warga Tumpat kerana hanya sampai di Wakaf Bharu sahaja.

“Kita cadangkan supaya ia disambungkan sehingga Pengkalan Kubor bagi membolehkan satu jajahan Tumpat dapat manfaat.

“Apabila Perdana Menteri menerima cadangan tersebut, kami rasa amat berbesar hati,” katanya. – 16 Mac 2017.