PAS Perlu Buka Mata Nilai Sikap Dr. Mahathir

Kerajaan PAS Kelantan diminta ‘buka mata’ seterusnya menyedari sikap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan mereka tidak sewajarnya menjalinkan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, kerajaan negeri perlu sedar, Dr. Mahathir telah ‘mendera’ Kelantan semasa zaman pemerintahannya sebagai Perdana Menteri.

“Kadang-kala saya pelik dengan PAS ini, yang dera mereka Dr. Mahathir tetapi masih boleh sepentas dengan PPBM. Kerajaan PAS Kelantan perlu mengkaji semula hubungan dengan PPBM ini,” katanya.

Mengulas lanjut Md. Alwi berkata, Dr. Mahathir telah menjadikan Kerajaan PAS Kelantan sebagai musuh ketika era pentadbirannya.

Katanya, apa yang didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai sikap bekas Presiden UMNO itu termasuk mengurangkan peruntukkan pada masa itu sememangnya benar.

“Memang betul apa yang Perdana Menteri sebut (Dr. Mahathir dera Kelantan). Sejak jadi pengerusi BN Kelantan pada tahun 1990, dia mengambil sikap bermusuh dengan Kerajaan PAS Kelantan.

“Misalnya peruntukkan wajib disalurkan kepada Kelantan, Dr. Mahathir akan menangguhkan pemberian tersebut dan kadang-kala sengaja dilambatkan.

“Malah, Dr. Mahathir juga tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan sebuah empangan di Kelantan pada tahun itu. Sekiranya empangan yang dirancang dibina di Nenggiri itu terlaksana, ia bakal menyelesaikan pelbagai masalah seperti banjir, air bersih dan sebagainya,” katanya. – 16 Mac 2017