PPBM Masih Berharap, Tidak Tolak Kemungkinan Lawan Tiga Penjuru

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih berharap kesepakatan antara parti itu dengan PAS akan dapat dicapai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Penerangannya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, bagaimanapun PPBM tidak menolak kemungkinan bakal menghadapi pertandingan tiga penjuru termasuk menentang PAS di Kelantan sekiranya kerjasama tersebut gagal.

Katanya, dalam keadaan PAS yang dilihat terus memberikan pelbagai alasan seolah-olah cuba menolak kerjasama tersebut menyebabkan PPBM terpaksa menggunakan pendekatan lain iaitu bertanding lebih daripada satu penjuru.

“Kita pada awalnya mengharapkan dapat bertanding satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) tapi suasana sekarang ini kita terpaksa menggunakan plan ‘b’ iaitu lebih dari dua penjuru,” katanya selepas ceramah perdana Pakatan Harapan malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menegaskan bahawa hubungan PAS dan PPBM putus selepas parti serpihan tersebut menjalinkan kerjasama rasmi dengan Pakatan Harapan.

Timbalan Menteri Besar itu dilaporkan berkata, PAS juga tidak akan memberikan peluang kepada PPBM untuk berkongsi pentas ceramah mereka sepertimana yang dilakukan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata, Mohd. Amar dilihat sengaja menggunakan alasan kerjasama dalam Pakatan Harapan untuk menjauhkan PAS dari PPBM.

“Bagi kita tidak ada masalah, terpulang pada dia (Mohd.Amar). Kalau dia hendak jauhkan diri daripada PPBM dan pakatan pembangkang itu adalah pilihan dia.

“Apa yang penting kita akan tingkatkan kerja dan terus memantapkan gabungan pakatan pembangkang dalam menghadapi pilihan raya,” katanya. – 16 Mac 2017.