Putus Hubungan Jika PPBM Sertai Pakatan Harapan

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hubungan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terputus sekiranya parti itu menjalinkan kerjasama secara rasmi dengan pakatan pembangkang yang turut dianggotai PAN dan DAP.

Malah katanya, PAS juga tidak akan memberi peluang kepada PPBM untuk ‘menumpang’ pentas ceramah mereka sepertimana yang dilakukan sejak kebelakangan ini.

Menurut Mohd. Amar, tindakan PPBM menyertai pakatan tersebut bermakna mereka menutup terus pintu kerjasama dengan PAS.

“Kalau itu pendirian rasmi dia, maka putuslah, tidak perlulah ada perbincangan lagi. Kita jalan sendiri-sendiri sahaja.

“Kita juga tidak akan kongsi pentas dengan PPBM lagi sebab itu memang syarat yang kita letak selama ini (tidak boleh bersama PAN dan DAP),” katanya.

Semalam, Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan partinya telah mencapai persetujuan untuk membentuk gabungan secara rasmi dengan pakatan pembangkang.

Kata bekas Perdana Menteri itu, PPBM secara prinsip bersetuju untuk gunakan hanya satu logo, satu simbol dan manifesto yang sama selain bersetuju dan memutuskan hanya satu calon sahaja diletak mewakili gabungan yang dibentuk tersebut.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar turut menempelak penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff apabila mendakwa PAS bakal kehilangan Kelantan jika tidak mengubah pendekatan politiknya.

“Saya fikir beliau perlu buat lebih banyak kajian, lagipun kesimpulan dibuat terlalu awal.

“Kalau beliau sendiri pun balik Kelantan sekali-sekala dan dengar satu dua ceramah, bagi saya itu tidak cukup untuk buat kesimpulan,” katanya. – 16 Mac 2017.