Ahmad Zahid, Tuan Ibrahim Berpimpinan Tangan

Kemungkinan kerjasama PAS – UMNO menjelang Pilihan Raya Umum – 14 (PRU14) kembali menjadi tanda tanya apabila pemimpin kedua-dua parti itu semalam dilihat berpimpinan tangan.

Kemesraan itu terpamer ketika pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turun dari pentas selepas majlis penutup seminar antarabangsa Rohingya di Hotel Marriott, Putrajaya.

Seminar selama tiga itu berlangsung dari 14 hingga 16 Mac 2017 anjuran bersama Kesatuan Ulama Muslim Sedunia, Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), International Federation for Relief & Development (IFRD) dan Yayasan Amal Malaysia.

Pengerusi seminar, Husin Ismail, dalam suatu kenyataan medianya berkata, tema bagi seminar ini adalah “THE PLIGHT OF THE ROHINGYAN: SEARCHING FOR SOLUTIONS” dan ia mencakupi konflik yang dialami oleh etnik Rohingya.

Ia dianjurkan bagi memahami sejarah etnik Rohingya, mencari, mengenalpasti masalah yang timbul seterusnya mencadangkan resolusi dan penyelesaian yang sebaiknya bagi meminimakan masalah yang berlaku.

Majlis tersebut disempurnakan Ahmad Zahid yang turut menerima resolusi seminar daripada Hussin.

Yayasan Amal Malaysia adalah sebuah badan yang terletak di bawah naungan PAS.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama sepentas dalam himpunan untuk Rohingya. – 17 Mac 2017.