H5N1; Jangan Panik

Orang ramai diminta tidak panik kerana wabak selesema burung atau H5N1 di Kelantan berada pada tahap terkawal dengan pelbagai langkah pencegahan telah diatur.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, setakat ini tiada jangkitan terhadap manusia dilaporkan berlaku.

Dalam masa sama beliau juga menasihatkan para penternak supaya memberikan kerjasama sekiranya terdapat keperluan haiwan peliharaan mereka dilupuskan.

Malah ujar beliau, perternak terbabit juga bakal diberikan pampasan kerana apa yang penting pada masa ini ialah langkah-langkah pencegahan bagi mengelak wabak tersebut menular.

“Setakat ini saya cukup berpuas hati dengan langkah pencegahan yang dilakukan pelbagai pihak bertanggungjawab,” katanya selepas sesi taklimat H5N1 di pejabat Veterinar negeri.

Semalam wabak H5N1 yang melanda Kelantan kini diisytiharkan sebagai bencana negeri dan diletakkan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20.

Bagaimanapun setakat ini, hanya 22 buah kampung melibatkan enam daerah sahaja terlibat. – 17 Mac 2017.