MP PAS Sokong ECRL

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan atas perancangan membina Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata, projek itu diyakini dapat membantu rakyat mengurangkan kos pengangkutan.

“Antara cara mengurangkan kos hidup rakyat ialah dengan menyediakan lebih banyak pengangkutan awam.

“Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan yang merancang rel-rel yang sesuai seperti MRT, LRT, dan baru-baru ini ECRL. Saya amat menyokong projek ini.

“Ia akan banyak membantu rakyat,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Nik Mazian berkata, penyediaan lebih banyak pengangkutan awam akan mengurangkan perbelanjaan bahan api untuk kenderaan oleh rakyat terutama yang kurang berkemampuan.

“Rakyat tak payah beli kenderaan, kos minyak juga boleh dijimatkan, kurang sesak. Ini banyak selesaikan masalah rakyat miskin,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan cadangan pembinaan ECRL sepanjang 600 kilometer bernilai RM55 bilion sewaktu pembentangan Bajet 2017, yang menghubungkan Lembah Klang dengan Kuantan, Pahang sehingga ke Terengganu serta Tumpat, Kelantan.

Projek itu dijadual bermula Julai tahun ini dan dijangka siap pada Jun 2024. – 17 Mac 2017.