Henti Sebar Upacara Raja Bomoh

Orang ramai dinasihat supaya tidak terus menyebarkan upacara perbomohan Ibrahim Mat Zin atau dikenali sebagai Raja Bomoh yang dikatakan ‘memagar’ Malaysia daripada ancaman negara asing khususnya Korea Utara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbuatan (menyebar) upacara itu secara tidak langsung mempromosikan individu itu.

“Memang inilah matlamat individu tersebut, iaitu diviralkan (ditularkan) supaya menjadi seorang yang lebih popular sedangkan banyak lagi agenda negara yang lebih besar boleh dikongsikan.

“Jika menyebarkan aktiviti ini, dia yang akan mendapat publisiti sedangkan kita boleh berfikir sama ada upacara berkenaan logik atau sebaliknya,” katanya.

Video dan pelbagai rakaman aksi terbaru ‘Raja Bomoh’yang juga Pengasas Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Aksi ‘Raja Bomoh’ itu dipercayai dilakukan rentetan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2), 13 Februari lepas. – 18 Mac 2017.