Kejayaan Negara Meyakinkan Saudi Aramco Melabur Di Malaysia

Saudi Aramco yakin untuk melabur di negara ini selepas mendapat maklumat sahih bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berjaya selain mendapat penarafan A, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri itu berkata, dengan kepercayaan itu Malaysia mendapat pelaburan RM31 bilion.

“Pada mulanya (Saudi Aramco) keberatan untuk melabur di Malaysia selepas diberi maklumat kononnya Malaysia diletakkan dalam kategori berisiko politik.

“Saudi Aramco diberikan maklumat kononnya Malaysia tidak stabil, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir muflis dan kerajaan tidak berkemampuan membayar gaji penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya hari ini.

Sehubungan itu, Najib menyelar pihak tidak bertanggungjawab yang menyalur maklumat palsu demi kepentingan politik mereka.

“Ini kerana ada orang yang tiada hati perut, motif mereka adalah politik tetapi yang jadi mangsa adalah rakyat Malaysia, ” katanya. – 18 Mac 2017.