Putus Hubungan Dengan PKR

Mesyuarat Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat malam tadi sebulat suara meluluskan usul tergempar membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR dan memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.

Usul yang dikemukan oleh Perwakilan Cabang Empat Kedai, Ahmad Fadli Abu Bakar dalam mesyuarat kali ke-40 yang berlangsung di Wisma I’baadurrahman turut mahu kerusi yang dipinjamkan parti itu kepada PKR pada pilihan raya umum lalu diambil balik.

Ketika membentangkan usul tersebut, Ahmad Fadli berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan PKR yang mengaku mempunyai hubungan tahaluf siyasi dengan PAS namun dalam masa sama mengekalkan kerjasama dengan musuh parti itu iaitu DAP dan PAN.

Menurutnya, PKR juga menunjukan sifat biadabnya apabila menerima keahlian Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang menang atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Dengan itu, saya mengusulkan kepada Dewan Pemuda PAS negeri untuk dipanjangkan kepada Dewan Pemuda PAS dan PAS Pusat supaya memutuskan segera hubungan dengan PKR secara menyeluruh termasuk tidak lagi membantu mereka pada pilihan raya,” katanya.

Perwakilan Telaga Manis, Sharul Munir Wan Husien yang menyertai sesi perbahasan menyokong dan meminta semua ahli perwakilan turut menyokong usul berkenaan.

“Saya menyokong 100 peratus usul tersebut berdasarkan beberapa perkara. Pertama PKR ingat hubungan dengan PAS ini perkara main-main. Waktu mereka suka mereka datang kemudian boleh bersama musuh kita mengkritik PAS, ” katanya.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudin yang turut dihadiri Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Nazman Che Iberahim dan Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat, Mohd Hushaimi Hussain. – 18 Mac 2017.