Dewan Pemuda PAS Sambut Baik Langkah Kerajaan

Dewan Pemuda PAS Kelantan menyambut baik langkah kerajaan untuk membentangkan usul Rang Undang-undang 355 (RUU 355) pada sidang Parlimen kali ini.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, apabila kerajaan meneruskan langkah untuk membentangkan usul tersebut sekaligus bakal memudahkan lagi usaha ke arah memartabatkan Mahkamah Syariah itu.

“Terpulang kepada kerajaan (bentangkan RUU 335) apa yang penting ia dapat dilaksanakan. PAS sendiri telah melaksanakan tanggungjawab memberi penerangan, kempen serta membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap rang undang-undang ini,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam mengesahkan bahawa kerajaan akan membentangkan RUU 355 pada sidang Parlimen kali ini sebagai usaha untuk memartabatkan agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan pihak lain.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut yang menjadi harapan umat Islam tanpa mengganggu-gugat kepentingan agama serta kaum lain.

Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS negeri berkata, PAS akan bekerjasama dengan UMNO dalam usaha membabitkan kepentingan agama Islam.

Namun katanya, sebarang kerjasama politik antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu sama sekali tidak akan berlaku.

“Tiada kerjasama politik antara PAS dan UMNO dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai usul Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat yang menggesa PAS memutuskan hubungan dengan PKR, Ahmad Fadhli menjelaskan, pihaknya akan meneliti usul tersebut. – 19 Mac 2017.