ECRL Tidak Berbaloi Jika Kerajaan PAS Kelantan Gagal Bawa Perubahan

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang turut melibatkan Kelantan sebagai tidak berbaloi sekiranya kerajaan PAS Kelantan masih gagal membawa sebarang perubahan di negeri itu.

Malah Presidennya, Datuk Ibrahim Ali turut mempersoal kesediaan kerajaan PAS Kelantan menerima projek mega tersebut termasuk daripada segi perancangannya apabila landasan tersebut siap dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, adakah kerajaan negeri sudah melaksanakan tanggungjawab untuk memperkasa dan menggerakkan pertumbuhan ekonomi di Kelantan agar sejajar dengan perkembangan projek tersebut yang dilihat bakal memberi impak besar kepada rakyat.

“Apa perancangan kerajaan negeri dalam tempoh tersebut. Kerajaan PAS Kelantan tidak boleh sentiasa menggunakan alasan tidak ada duit hendak bangunkan negeri ini,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tambahan projek ECRL sepanjang 16 kilometer dari Wakaf Bharu sehingga ke Pengkalan Kubor.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, projek ikon yang dijangka siap pada tahun 2022 itu turut bakal merentasi Tok Bali, Jelawat, Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, pembinaan tersebut akan berbaloi sekiranya kerajaan negeri mampu melaksanakan sesuatu ke arah merancakkan perkembangan ekonomi di negeri. – 19 Mac 2017.