Kerajaan Terima 1,518 Permohonan Rumah Bina Negara

Permohonan Rumah Bina Negara (RBN) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) masih lagi terbuka kepada generasi kedua yang ingin memiliki rumah sendiri.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, setakat ini pihaknya baharu sahaja menerima 1,518 permohonan daripada 6,000 borang yang diedarkan di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya telah menyasarkan 3,000 unit rumah RBN akan dibina sehingga tahun 2020 dengan peruntukan RM100 juta di bawah RISDA.

“Setakat ini, sebanyak 497 permohonan telah diluluskan termasuk 76 unit RBN sedang dalam pembinaan dan enam unit telah siap dibina sepenuhnya.

“Generasi kedua perlu merebut peluang ini kerana melalui RBN, kerajaan telah menawarkan insentif sebanyak RM20,000 bagi setiap rumah yang berharga RM65,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran RBN Peringkat negeri Kelantan 2017 di Kampung Lepan Kandis, Machang. – 19 Mac 2017.