Perkasa Cabar Kerajaan PAS Bangunkan Kelantan

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencabar Kerajaan PAS Kelantan supaya membangunkan Kelantan tanpa perlu berharap kepada hasil balak dan tuntutan royalti minyak.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, dalam masa sama, kerajaan negeri juga diminta berhenti daripada sikap gemar beretorik sebaliknya fokus dalam usaha membawa perubahan di negeri itu.

Katanya, rakyat sudah terlalu lama menderita ekoran tiada peluang pekerjaan dan tidak dapat menikmati pembangunan berbanding negeri lain.

“Sudah tiba masanya kerajaan PAS Kelantan fokus cari pelabur bukan dengan hanya memotong balak dan menanti duit royalti semata-mata. Sehingga hari ini, kerajaan negeri sering memberi alasan tidak ada duit.

“Allah telah anugerahkan Kelantan sebuah negeri yang indah dan kaya dengan hasil bumi. Tetapi malangnya pemimpin kerajaan negeri itu gagal menggunakan kelebihan itu,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim juga menggesa kerajaan Pusat supaya membantu melengkapkan pembangunan di negeri itu dengan membina sebuah pelabuhan di kawasan Pantai Tujoh, Tumpat atau Bachok.

Dalam masa sama katanya, kerajaan juga diminta menaik taraf Lapangan Terbang Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sebagai lapangan terbang antarabangsa khususnya melibatkan laluan ke negara-negara Asia.

“Kalau Pulau Pinang yang masyarakat Cina lebih ramai mempunyai lapangan terbang antarabangsa mengapa Kelantan yang penduduknya Melayu tidak boleh dibantu,” katanya. – 19 Mac 2017.