Tidak Ada Keperluan PAS Kerjasama Dengan PKR

Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan sudah tidak ada keperluan untuk parti itu terus menjalinkan kerjasama dengan PKR yang dilihat lebih selesa mengikut kehendak DAP daripada menjaga hati PAS.

Sehubungan itu Dewan Pemuda PAS akan membawa suara akar umbi yang mendesak parti itu membatalkan tahaluf siyasi dan memutuskan hubungan dengan PKR pada muktamar tahunan PAS di Kedah, bulan depan.

“Sebagai contoh di Pulau Pinang, saya lihat memang tidak ada keperluan bekerjasama dengan PKR. PKR dilihat langsung tidak menghormati kita termasuk pernah mengambil ahli PAS sebagai jentera pada pilihan raya umum lalu tanpa diberitahu.

“Begitu juga dalam isu fatwa di Pulau Pinang, PKR lebih selesa mendengar kata DAP daripada meletakkan kepentingan Islam. Jadi kita tidak boleh bersetuju dengan perkara ini. Jadi sudah tiba masanya untuk PAS mengkaji semula hubungan ini,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat kali ke-40 di Wisma I’baadurrahman.

Desakan akar umbi untuk melihat PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR semakin memuncak apabila mesyuarat tersebut sebulat suara meluluskan usul tergempar memutuskan hubungan tersebut.

Malah mereka turut mendesak PAS mengambil kembali kerusi yang dipinjamkan kepada PKR pada pilihan raya umum lalu selain mahu PAS segera berhenti daripada memberi bantuan kepada sekutunya itu.

Rata-rata ahli khususnya tidak mahu lagi melihat PAS terus diperkudakan oleh PKR sedangkan parti itu dalam masa sama langsung tidak menghormati PAS apabila masih menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PAN. – 19 Mac 2017.