Nik Abduh Kata Tanding Suka-Suka, Tak Peduli Tohmahan PAN

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang tewas jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa menjelaskan bahawa beliau bertanding jawatan tersebut hanya sekadar suka-suka.

Malah, Nik Mohamad Abduh juga tidak akan menghiraukan tohmahan demi tohmahan yang dilontarkan sesetengah pihak khususnya PAN
yang seolah-olah meraikan kekalahan anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.

“Biarlah yang lapar fitnah itu beraya (kekalahan Nik Mohamad Abduh) sekejap. Saya hanya bertanding sekadar suka-suka sahaja. Jawatan yang sudah ada ini (Ketua Dewan Pemuda PAS) pun sudah tidak larat hendak pikul,” katanya.

Nik Mohamad Abduh yang buat pertama kali bertanding jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa sesi 2017/2019 tewas kepada penyandang, iaitu Dr. Izani Husin.

Ahli Parlimen Pasir MAS itu sekadar mendapat 37 undi manakala Izani memperoleh 209 undi.

Manakala Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah terus diberi kepercayaan menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa bagi sesi akan datang setelah menang tanpa bertanding. – 20 Mac 2017.