Pemangku Raja Rakam Ucapan Terima Kasih Kepada Kerajaan Pusat

Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra merakamkan penghargaan terhadap usaha berterusan kerajaan Persekutuan membawa masuk pelbagai projek pembangunan ke negeri Kelantan. 

Baginda bertitah, projek-projek seperti menaik taraf Jalan Pasir Hor – Kadok, pembinaan sebahagian Lebuh Raya Rakyat, projek Bypass Jalan Pasir Mas dan Jejambat Wakaf Bharu bakal memberi banyak manfaat kepada rakyat.

“Beta juga dimaklumkan cadangan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Projek ini akan dimulakan melalui pengecaman jajaran dan pengambilan balik tanah tahun ini.

“Beta bersyukur jajaran yang bermula di Gombak, Selangor ini akan dipanjangkan sehingga ke Pengkalan Kubor yang terletak di sempadan Kelantan dan Thailand,” titah baginda ketika merasmikan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-13 2017 hari ini.

Dalam pada itu baginda turut menyarankan kerajaan PAS Kelantan supaya mencari jalan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri itu termasuk menyediakan insentif terbaik.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri serta agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kerana melaksanakan pelbagai program bagi menarik pelabur.

“Beta difahamkan kerajaan negeri bersama MIDA sedang berbincang dengan pelabur dari China untuk membangunkan industri simen di Gua Musang yang dijangka membawa masuk pelaburan bernilai RM1.5 bilion,” katanya.

Baginda turut bertitah, industri pelancongan perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi sepanjang tahun lalu, Kelantan berjaya menarik kemasukan 5.8 juta pelancong.

“Adalah menjadi harapan beta supaya industri sokongan seperti kemudahan awam yang sistematik dan cekap dapat disediakan bagi menyokong keperluan kemasukan pelancong ke negeri ini,” katanya. – 20 Mac 2017.