RBN: 20 Pemohon Teruja Miliki Rumah Sendiri

Seramai 20 pemohon Rumah Bina Negara di kawasan Machang teruja apabila mula menerima kunci rumah masing-masing. 

Penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub selepas membuat permohonan kira-kira dua tahun lalu.

Seorang penerima, Mohd. Amir Rameli, 28, berkata, dia berasa amat gembira dan tidak menyangka dapat memiliki rumah sendiri secepat ini.

“Saya telah mengemukakan permohonan RBN ini tahun lalu dan hanya menunggu kira-kira setahun sahaja untuk menerima kunci rumah baharu ini.

“Dengan adanya RBN ini, kehidupan kami sekeluarga kini lebih selesa dan impian saya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran RBN Peringkat negeri Kelantan 2017 di Kampung Lepan Kandis.

Mohd. Amir berkata, untuk RBN ini, dia hanya perlu membayar serendah RM250 sebulan.

“Sebelum ini, saya bersama isteri serta dua orang anak terpaksa berhimpit di rumah kedai yang disewa dengan harga RM100 sebulan.

“Namun, sekarang saya tidak lagi perlu menyewa dan hanya perlu membayar RM250 sebulan untuk rumah sendiri dengan tiga buah bilik,” katanya.

Tambahnya, dia amat berterima kasih kepada kerajaan pusat yang banyak membantu generasi kedua sepertinya untuk memdapatkan rumah sendiri.

“Usaha kerajaan yang menawarkan insentif sebanyak RM20,000 bagi setiap rumah RBN yang berharga RM65,000  adalah satu langkah yang amat baik”katanya. – 20 Mac 2017.