Kerajaan PAS Kelantan Rugi RM650,000 Setahun

Kerajaan PAS Kelantan mengalami kerugian sebanyak RM650,000 setahun pada 2015 berikutan kegagalan pengusaha pasir membayar caj yang dikenakan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, caj yang dikenakan pihaknya pada masa itu hanya sekitar RM1.65 bagi setiap tan pasir namun masih terdapat dalam kalangan pengusaha masih mengelak daripada membayar sehingga akhirnya menyebabkan kerugian pada hasil negeri.

“Namun perkara itu sudah dapat diatasi apabila dalam tempoh dua bulan tahun ini, kita telah berjaya memperolehi sebanyak RM800,000,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Adhan Kecik (BN- Bukit Bunga) mengenai kesedaran kerajaan negeri berhubung harga pasir yang naik secara mendadak.

Dalam perkembangan berkaitan, Hanifa berkata, pengusaha pasir di Kelantan yang gagal menjual bahan binaan tersebut dengan harga ditetapkan oleh kerajaan negeri akan dikenakan tindakan tegas termasuk ditarik balik lesen.

Katanya,  pihaknya mendapati terdapat segelintir pengusaha telah menaikkan harga pasir sehingga membebankan pengguna.

Katanya, harga pasir terkini yang ditetapkan untuk 10 tan pasir kotor adalah RM81.50, pasir ikat (RM105) dan RM122 bagi pasir halus.

Ujarnya, manakala caj yang dikenakan kerajaan negeri terhadap pengusaha pasir ini adalah serendah RM1.65 untuk satu tan.

“Harga yang ditetapkan kerajaan negeri ini jauh lebih rendah berbanding harga jualan yang dinaikkan pengusaha sehingga mencecah RM200 untuk 10 tan,” katanya. -21 Mac 2017.