Pintu Rundingan PASPPBM Tutup – Mohd. Amar

Harapan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkecai apabila PAS memuktamadkan pendirian tidak akan menjalinkan hubungan parti itu.

Pintu rundingan kerjasama itu ditutup terus oleh PAS selepas PPBM sah menyertai Pakatan Harapan yang diketuai DAP semalam.

Malah Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut menegaskan bahawa segala perbincangan serta rundingan parti itu dengan PPBM sebelum ini sebagai terbatal.

“Dasar kita, rundingan itu berjalan selagi PPBM tidak sertai pakatan pembangkang, sekarang sudah rasmi sertainya, maka berhentilah setakat itu, tidak ada perbincangan, tidak ada rundingan,” katanya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

PPBM yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini sah bergabung dengan parti-parti yang pernah menjadi musuh politik beliau di dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu, sekretariat Pakatan Harapan akan me­ngutus surat kepada PPBM untuk memaklumkan perkara tersebut. – 21 Mac 2017.