Husam Diarah Keluar Dewan

(Dikemas kini) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa diminta keluar daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sidangnya berakhir tengah hari ini.

Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya’ kub mengeluarkan arahan itu setelah Husam diberi amaran lisan beberapa kali kerana tindakannya mencelah dan melakukan provokasi semasa Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sedang menggulung titah Pemangku Sultan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Difahamkan, Husam tidak berpuas hati dan meminta menteri besar itu memberi penjelasan mengenai kelayakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nasuruddin Daud yang bercakap berhubung isu bai’ ah dan hukum taklik ketika sesi penggulungan sebelum itu.

Ketika ditemui di luar dewan, Husam yang juga Penasihat PAN Kelantan mempertikaikan tindakan tersebut dengan berkata “dalam peraturan dewan ADUN boleh minta laluan”.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak profesional dan tidak sepatutnya berlaku di bawah kerajaan yang mendokong prinsip ‘Membangun Bersama Islam’.

“Nabi SAW sangat menggalakkan perbahasan yang baik dan perbahasan itu boleh berlaku ketika kerajaan menggulung. Kalau kerajaan tak benarkan menggulung berilah amaran, janganlah halau terus keluar dewan,” katanya.

Sementara itu Ahmad berkata, tindakan Husam menjadi kesalahan dalam peraturan dewan dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Hari ini adalah sesi untuk penggulungan dan dia (Husam) tidak sepatutnya mengambil kesempatan. Husam sepatutnya mengambil peluang sekiranya mahu membahaskan titah berkenaan semalam.

“Setiap Ahli Dewan sudah dibekalkan buku mengenai peraturan yang perlu dipatuhi dan dia sebagai ADUN sepatutnya tahu perkara itu.

“Jadi, arahan meminta Husam keluar dewan dibuat mengikut peraturan sedia ada,” katanya. – 22 Mac 2017.