Sasaran Lima Negeri Tidak Ada Kena Mengena Dengan UMNO, Pakatan Harapan

Dewan Pemuda PAS yang menyasarkan menguasai lima negeri termasuk Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menegaskan sasaran tersebut tidak melibatkan sebarang kerjasama atau rundingan dengan UMNO dan Pakatan Harapan.

Malah Pemuda PAS turut yakin sasaran tersebut adalah realistik dan tidak mustahil untuk dicapai.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sasaran tersebut adalah berdasarkan kemampuan parti termasuk kekuatan jentera yang ada di negeri-negeri terbabit.

“Kita melihat sasaran lima negeri yang dibuat itu adalah logik. Oleh kerana politik yang ada sekarang sudah berbeza dan tidak sama lagi dengan pilihan raya umum lalu, jadi kita membuat sasaran sendiri tanpa melibatkan mana-mana pihak,” katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ucapannya yang tersebar luas di media sosial pernah mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu meletakkan sasaran menguasai lima negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak serta Selangor dan selebihnya kepada UMNO.

Bagaimanapun dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Profesional Malaysia anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat di Cyberjaya baru-baru ini Abdul Hadi menafikan pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata, tidak pernah wujud kerjasama PAS dan BN untuk mengagihkan beberapa negeri antara kedua-dua parti tersebut.

Sementara itu, Nik Mohamad Abduh menafikan dakwaan kononnya PAS mempunyai pakatan dengan BN sebaliknya sasaran tersebut adalah berdasarkan kemampuan parti itu sendiri.

“Ini sasaran kita yang dibuat oleh PAS Pusat, (dipersetujui) di semua peringkat dan negeri,” katanya. – 22 Mac 2017.