Wakil Rakyat PAS Kena ‘Sekolah’

Tindakan Dr. Md. Yusnan Yusof (PAS-Melor) mengecam kerajaan Pusat yang didakwanya zalim terhadap rakyat Kelantan memakan diri apabila beliau ‘disekolahkan’ oleh seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Situasi tersebut bermula apabila Md. Yusnan cuba membangkitkan isu mengenai kegagalan kerajaan Pusat membawa masuk pembangunan ke Kelantan sejak sekian lama sehingga menyebabkan rakyat menderita.

Kenyataan itu mengundang rasa tidak puas hati Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN- Kok Lanas) yang bangun mencelah mempersoalkan dakwaan tersebut disifatkannya sebagai tidak berasas sama sekali.

Menurut Md. Alwi, kerajaan Pusat dibawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membawa masuk peruntukan tinggi sehingga mencecah RM12.1 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk membantu merancakkan pembangunan di negeri itu.

Malah Ketua Penerangan UMNO Kelantan itu juga ‘pelik’ dengan tindakan Yusnan yang sanggup berada sepentas bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Melor baru-baru ini sedangkan bekas Perdana Menteri itulah sebenarnya individu yang bertindak kejam terhadap Kelantan.

“Baru-baru ini Perdana Menteri datang (Kelantan) memberitahu polisi dan dasarnya yang berbeza dengan zaman pemerintahan Dr. Mahathir. Yang bertanggungjawab (tidak membawa masuk pembangunan) Dr. Mahathir bukan BN.

“Bagaimanapun, yang peliknya YB Melor (Yusnan) sangggup pula berada di pentas ceramah bersama Dr. Mahathir, mana pendirian kerajaan negeri,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Datuk Norzula Mat Diah turut bangun mencelah meminta penjelasan Yusnan mengenai dakwaan tersebut.

“Saya ingin dapatkan penjelasan mengenai maksud zalim itu. Apa kita buat semuanya zalim sedangkan pelbagai bantuan telah diberikan kepada kerajaan negeri,” katanya. – 22 Mac 2017.