Husam Calon PAN Parlimen Kota Bharu?

PAN Kelantan berkemungkinan menamakan Datuk Husam Musa sebagai calon parti itu bagi Parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum – 14 (PRU14) ini.

Pengerusinya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika berucap pada majlis perasmian Dataran Amanah di Bunut Payong hari ini mencadangkan Husam sebagai calon parlimen tersebut.

“Saya sudah malas untuk bertanding dalam mana-mana pilihanraya, bagi kepada calon muda-muda pula. Datuk Husam boleh lagi,” katanya.

Parlimen Kota Bharu disandang oleh Datuk Takiyuddin Hassan pada PRU13 lalu.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agong PAS menang dengan majoriti 15,970 selepas menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan calon Bebas, Mohd. Zakiman Abu Bakar.

Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan pernah berkata sedia berdepan dengan bekas naib presiden PAS itu dalam PRU14. – 23 Mac 2017.