Kerajaan PAS Takut Arah Husam Keluar Dewan?

Datuk Husam Musa sekali lagi mencuri tumpuan dalam sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang berakhir semalam.

Kali ini, Penasihat PAN Kelantan itu dihalau keluar oleh Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya’kub yang mengeluarkan arahan tersebut setelah Husam diberi amaran lisan beberapa kali kerana tindakannya mencelah dan melakukan provokasi semasa Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sedang berucap.

Keadaan dilihat sedikit tegang pada awalnya, apabila bekas Exco kanan Kerajaan PAS Kelantan itu secara berterusan mengganggu Ahmad membuat penggulungan titah Pemangku Raja, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra.

Husam dikatakan tidak berpuas hati dan meminta Ahmad memberi penjelasan mengenai kelayakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nasuruddin Daud yang bercakap berhubung isu bai’ah dan hukum taklik ketika sesi penggulungan sebelum itu.

Tindakan Husam itu sememangnya dijangka dan seolah-olah dilihat cuba menarik perhatian ketika beliau langsung tidak diberikan ruang untuk mencelah oleh wakil rakyat PAS sepanjang sesi perbahasan dan penggulungan itu berlangsung.

Daripada satu sudut, tindakan PAS menghalang Husam daripada bercakap dan tidak diberi ruang untuk membahaskan seolah-olah menggambarkan kerajaan negeri itu ‘takut’ untuk menerima pendedahan demi pendedahan yang mungkin dilakukan Husam.

Kerajaan negeri bimbang segala kelemahan mereka akan terus didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu.

Sesi sidang DUN kali ini juga menimbulkan persoalan apabila ia dipendek sehari malah sesi terakhir semalam juga hanya berlangsung sehingga tengahari sahaja.

“Sejarah tercipta oleh sebuah Kerajaan pimpinan Dato Ahmad Yaakob. InsyaAllah ia kekal menjadi rekod sama ada kerajaan ini demokratik atau menghayati semangat ‘syura’ atau ketiadaan kelayakan menjadikan pimpinannya takut dengan bayang bayang sendiri,” kata Husam dipetik menerusi status facebooknya.

Sementara itu, Husam ketika ditemui selepas sidang DUN itu berkata, tindakan beliau mencelah adalah kerana mahu meminta penjelasan daripada Ahmad dan ruang sepatutnya diberikan kepadanya.

Katanya, pada sesi perbahasan semalam beliau langsung tidak diberikan peluang untuk berucap.

“Saya tidak sangka tindakan itu menyebabkan saya dihalau keluar dari dewan,” katanya.

Manakala Ahmad pula berkata, tindakan Husam menjadi kesalahan dalam peraturan dewan dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, Husam sepatutnya mengambil kesempatan sesi perbahasan semalam bukannya mengganggu ketika orang lain sedang berucap.

“Setiap ahli dewan sudah dibekalkan buku mengenai peraturan yang perlu dipatuhi dan dia sebagai ADUN sepatutnya tahu perkara itu.

“Jadi, arahan meminta Husam keluar dewan dibuat mengikut peraturan sedia ada. Kita menghormati keputusan Speaker kerana Husam telah melakukan tindakan di luar kawalan,” katanya.